Panduan Bisnes Kedai Dobi Yang Menguntungkan!

Sunday, February 26, 2012

Naim ‘tolong ingatkan’ Ana



HAMPIR tujuh tahun bersahabat baik sebelum menyulam kasih bersama, penyanyi Ana Raffali akhirnya bertemu jodoh de�ngan pengurus peribadinya, Aznaim Abdullah (Naim) yang memilih jejaka itu sebagai pasangan hidupnya.

Pemenang Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25) menerusi lagu popularnya, Tolong Ingatkan Aku itu tidak menyangka lelaki yang bakal mengisi hidupnya sebagai suami sebenarnya sangat dekat dengan dirinya selama ini.


Ketika pasangan artis lain diraikan dalam majlis perkahwinan serba indah di hotel ternama, Ana dan Naim memilih mengadakan majlis resepsi mereka dalam suasana sederhana bertempat di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, di sini, kelmarin.

Seawal jam 10 pagi, ahli keluarga daripada kedua-dua belah pihak, pihak lelaki mengenakan pakaian berwarna coklat keemasan, manakala warna putih bagi pihak perempuan, sabar menanti ketibaan pengantin perempuan ke masjid berkenaan.





Anggun dalam persalinan berona kelabu dengan perincian manik hasil rekaan Ezuwan Ismail, Ana yang dinikahkan bapanya sendiri, Mohd Raffali Mohd Nor, sah bergelar isteri dengan hanya sekali lafaz. Acara yang berlangsung tepat pada jam 11 pagi itu dimulakan dengan majlis pertunangan terlebih dulu sebelum majlis akad nikah menyusul beberapa minit kemudian.



Pada majlis pernikahan berkenaan, Naim menyerahkan mas kahwin berupa cek berjumlah RM11,412 diiringi enam lagi dulang hantaran kepada pihak perempuan berupa minyak wangi, coklat, manisan, sirih junjung, gelang tangan serta telekung.

Manakala, pihak perempuan membalas sembilan dulang berupa cincin, sirih junjung, jam dan minyak wangi, i-Pad 2, kamera, dompet, kek, bunga rampai serta buah-buahan yang digubah begitu cantik dalam dulang berwarna putih. Uniknya perkahwinan pasangan ini, tiada wang hantaran diberi, sebaliknya hanya mas kahwin daripada pihak lelaki.

Di hari berbahagia itu juga, selain mengenakan busana rekaan Ezuwan, Ana juga tidak ketinggalan memakai sepasang kasut yang direka khas buatnya oleh pelakon jelita, Neelofa.

Sesudah selesai majlis akad nikah, acara diteruskan dengan majlis resepsi di perkarangan masjid berkenaan dan sementara tetamu dipersilakan untuk menjamu selera, Ana dan Naim bersedia menyalin busana kedua yang direka Safura Azali.

Ditanya mengapa tidak bersanding, Ana yang ternyata gembira berkata, ia sebagai mengikut adat di mana mereka akan menjalankan majlis pertunangan sebelum akad nikah dilangsungkan.

Bergelar isteri selepas ini dan dalam masa sama kerjaya diurus suami, Ana tidak berasakan perbezaan ketara kerana selama ini pun mereka bekerja secara profesional dan saling memahami.

“Tidak sangka, kini saya sudah bergelar isteri kepada Naim. Jika sebelum ini dia tolong bawa gitar, jaga keselamatan saya dan jadi tukang pasang ‘speaker’, kini tanggungjawab dia bertambah sebagai seorang suami.

“Perasaan cinta yang hadir antara kami adalah berdasarkan kepercayaan dan kejujuran. Naim di mata saya adalah seorang insan yang sangat sabar.

“Agak berdebar-debar juga sepanjang majlis berlangsung tadi, tapi syukurlah, semuanya berjalan lancar. Jika ada rezeki, saya impikan sebuah keluarga besar seperti yang saya ada sekarang agar lebih meriah,” katanya.

Menyerahkan sepenuhnya kepada takdir, menurut Ana, kalau boleh dia inginkan anak seramai lapan orang namun itu semua terpulang kepada rezeki.

Tidak banyak bercakap namun sentiasa mengukir senyuman, Naim hanya mampu berselindung di sebalik kegirangan selepas memperisterikan Ana. Baginya, sepanjang tujuh tahun mengenali Ana, dia adalah seseorang sahabat yang sangat setia dan sentiasa ingin berjaya dalam hidupnya.

“Sekian lamanya bersama dia, akhirnya timbul suatu rasa untuk memikul tanggungjawab ke atas Ana. Sukar rasanya untuk mengungkapkan apa yang istimewa pada dia namun apabila kita sudah sayang dengan seseorang, semua mengenai dia adalah istimewa bagi saya.

“Saya sebenarnya sudah ternanti-nanti saat bahagia ini namun saya kena bagi laluan terlebih dulu kepada Ana untuk menstabilkan diri serta berasa selesa dengan kerjayanya sekarang.

“Walaupun kini kami sudah bergelar suami isteri namun apabila bekerja kelak, rasanya tidak akan timbul masalah besar kerana apabila menyentuh hal kerja, peribadi perlu diketepikan. Lagipun selama ini kami sentiasa profesional setiap kali bekerja,” katanya.

Dengan senggang cuti selama dua minggu, pasangan bahagia ini tidak berhajat pergi jauh sebagai destinasi berbulan madu, sebaliknya memilih untuk melawat saudara-mara di sekitar Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan sebagai memanfaat waktu terluang itu.

No comments:

Post a Comment