MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Roberto Mancini sudah melupakan perbalahan dengan Carlos Tevez dan menegaskan penyerang Argentina itu kini boleh disenaraikan mewakili kelab itu.
Namun Mancini, bercakap selepas pasukannya layak ke pusingan ketiga Liga Europa selepas membelasah juara bertahan Porto, 4-0 memberi amaran, Tevez berdepan tugas getir untuk merebut kembali tempat dalam kesebelasan utama.
Minggu ini, Tevez memohon maaf kerana kelakuannya ketika bertelagah dengan Mancini September lalu, apabila enggan memanaskan badan ketika tewas kepada Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara di gelanggang lawan.
Pengendali bangsa Itali itu bertemu pemainnya sebelum latihan semalam dan menjangkakan Tevez boleh diturunkan pada pertengahan bulan depan.
“Dia sudah minta maaf,” kata Mancini. “Saya tiada masalah. Esok (hari ini) saya akan bertemunya sebelum latihan, selepas itu, dia boleh mula bekerja bersama kami.
“Dia mungkin memerlukan dua atau tiga minggu untuk mendapatkan semula prestasinya, selepas itu dia pasti ok. Dia boleh bermain, seperti pemain lain,” katanya.
“Carlos memahami pasukan tapi pasukan ini, dalam tempoh enam atau bulan lalu, bermain dengan amat bagus. Mereka berada di tangga pertama Liga Perdana.
“Kami mengenali Carlos, dia seorang penyerang terbilang dan bagus untuk menerimanya kembali, saya fikir dia boleh bantu kami dan melakukan tugas yang baik dalam dua bulan akan datang.
“Saya fikir penting jika kami memiliki Carlos, Mario (Balotelli), Edin (Dzeko) dan Sergio (Aguero) kerana ia pasti bagus buat pasukan.” - AFP
No comments:
Post a Comment