Panduan Bisnes Kedai Dobi Yang Menguntungkan!

Saturday, February 18, 2012

Hati-hati air keruh

SHAH ALAM: Berikutan gangguan bekalan air di sekitar Hulu Langat, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) meletakkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP Kod Hijau) di kawasan itu sebagai langkah berjaga-jaga gejala air keruh.

Pengarah Eksekutif, Bahagian Hal Ehwal Korporatnya, Abdul Halem Mat Som berkata, Syabas berharap semua pihak terbabit dalam aktiviti industri, pengorekan pasir, penternakan dan pertanian, terutama berhampiran sungai, berhati-hati dalam aktiviti dilaksanakan supaya tidak mencemari sumber air mentah.

Pada masa sama, katanya, pihak berkuasa seperti Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) disaran menjalankan pemantauan kerap serta mengambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas terhadap mereka yang menyalahi undang-undang.

“Kami dimaklumkan pihak pengendali loji, Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB), kerja pembaikan pam 100 peratus siap pada jam 9.15 pagi hari ini (semalam) dan Loji Rawatan Air Sungai Langat kembali beroperasi pada tahap 22 peratus melepasi tahap kapasiti reka bentuknya, iaitu pada kadar 470 juta liter sehari (JLH).

“Namun ketika penyenggaraan kecemasan pam air mentah di loji itu dilaksanakan, PNSB memaklumkan sekitar jam 9 malam kelmarin, loji terpaksa mengurangkan pengeluaran ke tahap 30 peratus iaitu pengurangan 100 JLH berikutan kekeruhan air mentah yang tinggi dikesan di muka sauk loji,” katanya.

“Tindakan itu terpaksa diambil PNSB disebabkan kekeruhan mencapai paras 5310 NTU (Nephelometric Turbidity Unit) dan naik secara mendadak sehingga mencapai 18000 NTU pada jam 11 malam (17 Februari) berbanding kurang daripada 1000 NTU pada waktu biasa,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku selama enam jam sehingga menyebabkan paras kolam imbangan turun pada paras 0.1 meter pada jam 2 pagi semalam.

Namun, katanya, paras kekeruhan air mentah berkurangan ke tahap 1010 NTU pada jam 3 pagi dan setakat ini kawasan terbabit sekitar Hulu Langat sah menerima bekalan air seperti biasa selepas kedua-dua masalah itu dapat diselesaikan pengendali loji.

Orang ramai yang mempunyai aduan atau pertanyaan menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas (PUSPEL) menerusi talian bebas tol 1-800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPELaduan / pertanyaan dan hantar kepada 39222.

No comments:

Post a Comment