Kuala Lumpur: Tidak salah remaja memiliki akaun laman sosial Facebook (FB), tetapi ibu bapa perlu memantau setiap kegiatan anak, termasuk rakan maya, bagi memastikan teknologi itu digunakan pada jalan betul.
Pakar motivasi, Prof Madya Md Izzudin Ali berkata, selain aspek itu, komunikasi antara ibu bapa dan anak penting supaya mereka tidak tersesat menghadapi dunia yang semakin moden ini.
“Zaman ini, ramai ibu bapa terlalu mengikut telunjuk anak dan tak berani nak tegur kesilapan kerana takut anak mereka buat perkara tak elok, misalnya lari dari rumah,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Prof Izi berkata, kebanyakan penjaga hanya mementingkan pencapaian akademik semata-mata tanpa menitikberatkan soal agama kepada anak.
“Ramai bangga apabila anak dapat subjek A dalam semua mata pelajaran. Setiap hari pasti ibu bapa tanya bagaimana pencapaian di sekolah. Namun, tidak ramai ibu bapa bertanya anak mereka mengenai solat.
“Hakikatnya, agama memainkan peranan terpenting dalam mendidik anak selain elemen kasih sayang. Luangkan masa bersama mereka dan bercakap secara psikologi, bukan melalui kekerasan,” katanya.
No comments:
Post a Comment