Kuala Lumpur: Seorang suri rumah berusia 40 tahun berputih mata apabila menyerahkan semua barang kemas miliknya bernilai lebih RM2,000 selepas terpedaya dengan taktik sedih seorang wanita yang mendakwa adik perempuannya keguguran dan perlu mendapatkan rawatan segera di hospital.
Dalam kejadian di sebuah pasar pagi di Bangsar Baru di sini, Khamis lalu, suspek yang juga wanita warga Indonesia berusia 30-an merayu meminta dipinjamkan wang dengan 'mencagarkan' tiket nombor ekor yang memenangi hadiah RM50,000 kepada suri rumah berkenaan.
Biarpun enggan menerima tiket nombor ekor berkenaan, mangsa yang simpati kemudian menyerahkan barang kemasnya iaitu rantai leher, gelang tangan, loket dan cincin sebelum wanita terbabit berjanji akan memulangkan pada keesokan harinya.
Sumber polis berkata, mangsa yang bersendirian membeli barangan keperluan harian di pasar pagi berkenaan sebelum dihampiri wanita terbabit.
“Suspek merayu kepada mangsa untuk membantunya membawa adik perempuannya yang keguguran ke hospital kerana dia tidak mempunyai wang.
“Pada mulanya, mangsa enggan membantu, namun selepas suspek menunjukkan tiket nombor ekor dimenanginya dan mahu mencagarkannya jika suri rumah itu tidak mempercayainya, mangsa berubah fikiran,” katanya.
Sumber berkata, biarpun enggan menerima tiket nombor itu sebagai cagaran, mangsa menyerahkan barang kemasnya kepada wanita terbabit.
“Suspek berjanji akan memulangkannya semula barang kemas itu kepada mangsa selepas menebus tiket nombor ekor berkenaan keesokan harinya,” katanya.
No comments:
Post a Comment