MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Roberto Mancini tidak memandang rendah kemampuan Leeds menjelang perlawanan pusingan kelima Piala FA di Eastlands, malam ini.
Skuad Mancini semakin jauh daripada buruan kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila ketinggalan 12 mata dengan baki 12 perlawanan kepada pendahulu liga, Manchester United. Malah, City juga tersingkir daripada pusingan kalah mati peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.
Pengurus pasukan berasal dari Itali itu menerima hakikat City mungkin mempunyai lebih peluang untuk menjulang Piala FA dan optimis musim ini akan berakhir baik sekiranya mereka berjaya menjulang trofi yang dimenangi pada 2011.
Namun, beliau tidak memandang remeh kemampuan Leeds yang menyingkirkan pasukan Liga Perdana, Tottenham Hotspur pada pusingan keempat.
“Piala FA kini berbeza. Pertemuan menentang Leeds bukan tugas mudah kerana mereka berjaya menundukkan Tottenham.
“Dalam Piala FA, setiap perlawanan sukar. Ini adalah caranya untuk kami tampil dengan aksi lebih baik berbanding tiga bulan lalu tapi peluang kami ke final cerah,” katanya.
Lantaran itu, Mancini juga tampil melaungkan cabaran untuk bangkit selepas tewas 1-3 di tangan Southampton, minggu lalu.
Penjaga gawang dari Romania, Costel Pantilimon menggantikan tempat Joe Hart yang direhatkan.
Mancini sebelum ini merancang untuk menyenaraikan barisan pemain utama menentang skuad kendalian Neil Warnock itu, sama seperti yang pernah dilakukannya ketika menewaskan Watford dan Stoke untuk layak ke pusingan kelima.
“Warnock pengurus hebat dan berpengalaman. Saya menentang kelabnya, QPR tahun lalu dan kami berdepan masalah dan hanya menang 3-2 di London. Beliau sememangnya pakar taktik bola sepak.
“Saya akan melakukan sedikit rombakan kerana ada beberapa pemain yang cedera. Namun, saya tetap menyenaraikan pemain utama di padang.” - AFP
No comments:
Post a Comment