Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, hubungan Malaysia dengan Australia tidak akan terjejas berikutan penahanan Senator Australia Nick Xenophon daripada memasuki negara ini.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai hak untuk menguatkuasakan undang-undang sendiri termasuk melarang mana-mana individu memasuki negara.
“Jika beliau (Xenophon) datang ke sini dengan niat tidak baik, lebih baik tidak datang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Festival Sambutan Tahun Baru Cina 2013 di sini, semalam.
Dr Mahathir mengulas mengenai penahanan Senator Australia itu di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, semalam setelah didapati mempunyai rekod memudaratkan kesejahteraan negara.
Bekas perdana menteri itu bagaimanapun berkata, kerajaan Australia juga berhak melontarkan kritikan berhubung insiden penahanan warganya itu.
“Jika mereka mahu mengkritik, mereka boleh mengkritik. Kita tidak perlu melayan mereka,” katanya.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Dr Mahathir mengingatkan semua rakyat supaya sentiasa mengamalkan sikap berkongsi sesama kaum di negara ini.
Katanya, amalan berkongsi dalam kuasa kepemimpinan kerajaan dan kekayaan negara selama ini mengukuhkan kestabilan dan keamanan dalam kalangan rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai pegangan agama.
“Malaysia negara berbilang kaum, tetapi kita tidak bermusuh antara kaum, sebaliknya kita lebih suka bekerjasama. “Kerana kita sanggup kongsi, maka negara kita menjadi aman dan kita dapat kongsi kuasa kerajaan dan juga kejayaan dalam negara kita ini. Tidak ada siapa yang ketinggalan,” katanya.
Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta menteri kabinet.
Sambil berkata kepemimpinan kerajaan Malaysia sedia ada adalah terbaik, Dr Mahathir berkata, amalan perkongsian itu ditekankan sejak kepemimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai Perdana Menteri Pertama Malaysia.
“Tidak ada negara dalam dunia ini dapat merayakan hari kebesaran kaum seperti di Malaysia ini. Sekurang-kurangnya setiap rakyat Malaysia boleh kata ‘Gong Xi Fa Cai’,” katanya.
Dr Mahathir turut menemani Najib menggaul ‘Yee Sang’ sepanjang 977 meter yang diletakkan di sepanjang Jalan Bukit Bintang, tempat berlangsungnya majlis itu.
No comments:
Post a Comment